TUGASAN BLOG SVW502
HAK PERSAHABATAN DALAM BIDAYATUL HIDAYAH
Nur Atikah Binti Nazarudin
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia
11800 Pulau Pinang
No. Matrik: P-SM0066/14
Bismillahirrahmanirrahim..
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggariskan pengertian yang sama
bagi mereka yang bergelar sahabat, rakan, kawan, teman, dan taulan. Berdasarkan
pemerhatian dan pengalaman hidup selama 24 tahun ini, disimpulkan bahawa setiap
manusia pasti mempunyai sahabat. Baik sahabat dibangku sekolah, di alam
pengajian tinggi, dan di alam pekerjaan. Sering didengari bahawa sahabat
merupakan cerminan kepada diri kita. “Orang mukmin adalah ibarat cermin bagi
Mukmin yang lain. Mereka bersaudara di antara satu sama lain. Memelihara harta
bendanya dan melindungi kepentingannya masa ketiadaannya” (Riwayat Abu
Daud). Ada pula yang berkata bahawa sahabat adalah orang terdekat yang paling
mudah mempengaruhi kita dalam membuat apa sahaja jenis keputusan. Tidak kurang
juga, ramai yang kecundang dalam kehidupan kerana rakan sebaya. Apabila memilih
sahabat yang salah maka amanah yang dipinjamkan Allah SWT pula dikhuatiri
terjejas. Amanah terhadap masa, usia, harta dan kehormatan.
![]() |
| sahabat ialah mereka yang tidak meninggalkan... |
Selain itu, isu yang timbul adalah apabila mempunyai terlalu ramai
sahabat dalam satu kumpulan. Pernahkah suatu ketika kalian mempunyai kumpulan
yang kecil, kemudian ia bertambah ahli dan bertambah lagi sehingga pada satu
ketika kalian merasakan suara kalian tidak didengari, tidak dipedulikan dan
tiba-tiba terasa seakan-akan ditinggalkan. Saya sendiri pernah merasakannya.
Bukan sahaja sekali dua, tetapi lebih daripada itu sehinggakan saya berhenti
mengira dan mula merasakan diri ini ditakdirkan untuk bersendirian membawa
diri. Sedih. Mungkin sahaja berlaku kerana diri ini sendiri yang menarik diri
daripada kumpulan kerana berkecil hati dan mungkin sahaja diri ini ingin
mengubah angin, ingin mencuba mencari sahabat yang baru. Pada mulanya memang
diri ini menyalahkan sahabat kerana merasakan mereka mula mementingkan diri.
Namun, setelah acap kali berlaku mungkin salahnya pada diri sendiri kerana yang
membuat keputusan untuk menjauhkan diri daripada kumpulan adalah diri sendiri.
Serik dengan pengalaman lepas, rakan, sahabat ataupun kawan
perlulah dipilih dengan baik agar pemilihan rakan tidak mudah menjejaskan
kehidupan, baik dari fizikal mahupun rohani dan emosi. Mungkin juga dengan mempunyai
adab dalam persahabatan dapat mengelakkan diri daripada sebarang permasalahan
yang timbul daripada persahabatan. Sering juga terfikir, tiada manusia yang
sempurna. Itu lumrah hidup. Hidup perlu berusaha, hidup perlu bersaing, hidup juga
perlu berdikari. Kesimpulannya hidup perlu berilmu dalam menyelesaikan cabaran
dan masalah dalam kehidupan. Hidup juga perlu berilmu bagi menangkis sebarang
permasalahan yang bakal berlaku. Suka untuk dikongsikan bersama kalian, dalam kitab
Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah) terdapat beberapa perkara ditekankan
dalam menjaga hak dan adab bersahabat.
![]() |
| Permulaan Jalan Hidayah |
Kitab Bidayatul Hidayah merupakan kitab karangan Al-Imam Hujjatul
Islam Al-Ghazali Rahimahullah yang banyak dilimpahi keberkatan daripada Allah
s.w.t. Ia merupakan ringkasan atau pati kepada kitab induk Ihya' Ulumuddinini
yang telah pun diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh seorang tokoh terkenal
iaitu Al-Alim Al-Allamah As-Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani (meninggal dunia
sekitar tahun 1203 Hijrah). Di rantau Asia Tenggara, terjemahan terkenal ini
dinamakan sebagai Hidayatussalikin Fisuluki Maslakil Muttaqin. kerana kita ini mempunyai
huraian lengkap dan menggunakan gaya bahasa yang tinggi di samping penambahan yang besar faedahnya.
Dalam kitab tersebut dinyatakan beberapa hak seorang sahabat ke
atas sahabatnya yang lain. Menurut Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, hak dalam
persahabatan ini perlu dijaga bagi mengelakkan hubungan baik di antara dua
pihak terjejas sekaligus menjamin jalinan persabahatan yang diredai Allah SWT. Antara
hak dalam menjalin persahabatan yang dijelaskan dalam kitab tersebut ialah
memberi teguran secara berhemah apabila sahabat melakukan kesalahan, menziarahi
sahabat apabila tidak sihat, memberi bantuan dan keringanan kepada sahabat
apabila dirinya mengalami kesukaran,
Hadis berkenaan hak sahabat pula meliputi 7 aspek yang diriwayatkan
oleh Ibnu Babawaih. Sabda Rasulullah SAW,
“Tiap orang mukmin telah diwajibkan oleh Allah mendapat tujuh hak
daripada orang mukmin yang lain: memandangnya dengan penuh penghargaan,
menyimpan perasaan mesra dalam hati terhadapnya, menghulurkan simpati dengan
harta sendiri, mengharamkan perbuatan mengumpat terhadapnya, menziarahinya
ketika sakit, mengiringi jenazahnya (apabila meninggal dunia), dan tidak menyebut
tentangnya kecuali yang baik sahaja setelah ketiadaannya.”
Tambahan daripada itu, beberapa kriteria diperlukan oleh setiap
individu bagi menjalin persahabatan yang baik. Menurut Habib Ali Zaenal Abidin
Al Hamid (2011), jika kita merupakan
sahabat yang menghormati persahabatan, maka kita akan memiliki hak persahabatan
dengan sahabat tersebut. Sebaliknya, jika sahabat didapati tidak memenuhi hak
persahabatan maka sahabat itu akan melarikan diri apabila kita dihimpit
kesusahan. Jelasnya lagi, terdapat empat kriteria
yang diperlukan bagi memastikan hak persahabatan yang harmoni. Pertama, teman yang
menemani dalam susah dan senang. Kedua, teman yang jujur terhadap sahabatnya. Ketiga,
teman.yang memenuhi janji. Keempat, adil dalam memenuhi hak persahabatan.
Oleh itu, mengenali hak persahabatan dan adab-adabnya dalam
menunaikan hak adalah penting. Terdapat empat adab dalam persahabatan. Pertama,
bersahabat kerana Allah. Apabila bersahabat kerana Allah, secara tidak langsung
ia menjadi ibadah dalam muamalat individu disamping dapat menjaga habluminallah
(hubungan makhluk dengan Allah). Kedua, berbuat itsar terhadap
sahabat, iaitu mendahulukan sahabat berbanding diri sendiri dalam
perkara-perkara yang dibolehkan dalam syariat. Secara tidak langsung sebenarnya
itsar bertindak sebagai sifat yang dapat menjaga habluminannas (hubungan
sesama manusia). Ketiga, membantu sahabat yang berada di dalam kesulitan. Apabila
sahabat mengalami kesukaran dari segi kewangan mahupun masalah lain, sahabatnya
perlu peka, bertanggungjawab dan berusaha dalam menyelesaikan masalah sahabatnya
bersama. Keempat, menjaga kehormatan sahabat. Menjaga kehormatan bukan sahaja
dengan tidak mendedahkan aib sahabat malah menjaga air muka, maruah dan
mempertahankan kehormatan keluarga sahabat dalam hidup bermasyarakat.
Habib Ali Zaenal (2014) turut mengupas kitab ini dengan lebih
terperinci berkenaan aspek apabila berlaku salah faham dalam persahabatan. Menurutnya,
permasalahan perlulah diselesaikan dengan berhemah. Apabila, kita melihat
sahabat melakukan perkara yang tidak kita gemari, maka perkara yang perlu dibenci
ialah perbuatan tersebut dan bukanlah sahabat tersebut. Dalam masa yang sama, kita
perlu mengingatkan diri serta mengambil pelajaran ke atas perkara negatif yang
berlaku disekeliling kita dan bukan sekadar menghukum kejahilan yang mungkin dilihat
dari kesilapan sahabat dan orang sekeliling. Namun apabila berlaku
pertelingkahan, ingatlah pesan Rasulullah SAW di bawah, bahawa muslim yang
bersaudara tidak dibolehkan memutuskan silaturrahim kerana tiada hamba-Nya yang
terlepas daripada membuat kesilapan.
“Janganlah kamu saling putus-memutus hubungan,
janganlah kamu saling berpaling tadah, janganlah kamu saling benci-membenci,
janganlah kamu saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang
bersaudara. Dan tidaklah halal bagi seorang muslim berpaling dari saudaranya
lebih dari tiga hari”. (H.R Bukhari
dan Muslim)
Perumpamaan berikut pula menjelaskan mengapa perlunya menjaga hak dalam
persahabatan dan saling menghormati dalam persahabatan. Perumpamaan dari
orang-orang tua banyak mengatakan tentang berhati-hati kamu kepada musuh kamu
sekali, tetapi (berhati-hati) kepada teman kamu 1000 kali.” Perkara yang cuba
ditekankan dalam perumpamaan ini ialah kepentingan
dalam menjaga hubungan persahabatan. Yakni sebagai seorang sahabat, kita perlu menjaga
hak persahabatan dengan teman itu. Hal ini kerana sahabat merupakan orang
mengetahui segala rahsia diri kita setelah berkongsi susah dan senang. Namun,
apabila berlaku pergaduhan antara dua sahabat maka dikhuatiri rahsia akan
terdedah. Oleh itu, hak terhadap sahabat perlu dipenuhi bagi menjamin hubungan
persahabatan yang kukuh.
“Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik
terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik
terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)
Berdasarkan hadis di atas, dinyatakan ciri-ciri peribadi yang
mulia. Apabila kita memuliakan dan menghormati orang lain maka kita juga akan
mendapat menghormatan yang sama seperti layanan yang kita berikan kepada mereka.
Justeru, kita perlu menghormati sahabat agar kita dihormati. Memberi tanpa
mengharap mendapatkan balasan darinya. Kita perlu lebih bersyukur dan tanamkan
dalam jiwa akan janji Allah SWT yang pasti. Itu sudah memadai, kerana janji
Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang akan ditambahkan rezeki kepada mereka yang
bersyukur.
Kesimpulannya, adalah penting bagi setiap individu memilih mukmin
yang sesuai untuk dijadikan sahabat selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak
agar dapat saling membimbing ke arah kebaikan. Selain itu, setiap muslim perlu
menjaga hak sahabat masing-masing, baik hak terhadap diri sendiri sebagai
sahabat mahupun hak sahabatnya terhadap dirinya. Sesuai dengan sabda Rasulullah
SAW bahawa setiap mukmin akan dipersoalkan tanggungjawabnya terhadap mukmin
yang lain di akhirat kelak. Oleh itu, menjaga hak mukmin dan sahabat lain
adalah penting agar kita mendapat keredaan Allah dalam menjaga habluminallah
dan habluminannas. Sekaligus, in shaa Allah dengan menjaga kebajikan
sahabat dan mukmin lain, ianya dapat menjamin kejayaan dunia melalui hubungan
persahabatan yang harmoni dan kejayaan akhirat setelah mendapat keredaan Allah
SWT. Mari kita buktikan bersama bahawa kita sayang akan sahabat yang lain dan
inginkan kejayaan bersama di dunia dan akhirat. Ayuh, bersama saling mengamalkan
adab bersahabat dan menunaikan hak terhadap sahabat sekeliling agar kehidupan
lebih bahagia, jauh daripada persengketaan picisan dalam persahabatan.
Wallahu'allam.




No comments:
Post a Comment