Tuesday, November 17, 2015

TUGASAN BLOG SVW502: HAK PERSAHABATAN DALAM BIDAYATUL HIDAYAH

TUGASAN BLOG SVW502
HAK  PERSAHABATAN DALAM BIDAYATUL HIDAYAH
Nur Atikah Binti Nazarudin 
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia
11800 Pulau Pinang
No. Matrik: P-SM0066/14


Bismillahirrahmanirrahim..
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggariskan pengertian yang sama bagi mereka yang bergelar sahabat, rakan, kawan, teman, dan taulan. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman hidup selama 24 tahun ini, disimpulkan bahawa setiap manusia pasti mempunyai sahabat. Baik sahabat dibangku sekolah, di alam pengajian tinggi, dan di alam pekerjaan. Sering didengari bahawa sahabat merupakan cerminan kepada diri kita. “Orang mukmin adalah ibarat cermin bagi Mukmin yang lain. Mereka bersaudara di antara satu sama lain. Memelihara harta bendanya dan melindungi kepentingannya masa ketiadaannya” (Riwayat Abu Daud). Ada pula yang berkata bahawa sahabat adalah orang terdekat yang paling mudah mempengaruhi kita dalam membuat apa sahaja jenis keputusan. Tidak kurang juga, ramai yang kecundang dalam kehidupan kerana rakan sebaya. Apabila memilih sahabat yang salah maka amanah yang dipinjamkan Allah SWT pula dikhuatiri terjejas.  Amanah terhadap masa, usia, harta dan kehormatan.

sahabat ialah mereka yang tidak meninggalkan...
Selain itu, isu yang timbul adalah apabila mempunyai terlalu ramai sahabat dalam satu kumpulan. Pernahkah suatu ketika kalian mempunyai kumpulan yang kecil, kemudian ia bertambah ahli dan bertambah lagi sehingga pada satu ketika kalian merasakan suara kalian tidak didengari, tidak dipedulikan dan tiba-tiba terasa seakan-akan ditinggalkan. Saya sendiri pernah merasakannya. Bukan sahaja sekali dua, tetapi lebih daripada itu sehinggakan saya berhenti mengira dan mula merasakan diri ini ditakdirkan untuk bersendirian membawa diri. Sedih. Mungkin sahaja berlaku kerana diri ini sendiri yang menarik diri daripada kumpulan kerana berkecil hati dan mungkin sahaja diri ini ingin mengubah angin, ingin mencuba mencari sahabat yang baru. Pada mulanya memang diri ini menyalahkan sahabat kerana merasakan mereka mula mementingkan diri. Namun, setelah acap kali berlaku mungkin salahnya pada diri sendiri kerana yang membuat keputusan untuk menjauhkan diri daripada kumpulan adalah diri sendiri.
Serik dengan pengalaman lepas, rakan, sahabat ataupun kawan perlulah dipilih dengan baik agar pemilihan rakan tidak mudah menjejaskan kehidupan, baik dari fizikal mahupun rohani dan emosi. Mungkin juga dengan mempunyai adab dalam persahabatan dapat mengelakkan diri daripada sebarang permasalahan yang timbul daripada persahabatan. Sering juga terfikir, tiada manusia yang sempurna. Itu lumrah hidup. Hidup perlu berusaha, hidup perlu bersaing, hidup juga perlu berdikari. Kesimpulannya hidup perlu berilmu dalam menyelesaikan cabaran dan masalah dalam kehidupan. Hidup juga perlu berilmu bagi menangkis sebarang permasalahan yang bakal berlaku. Suka untuk dikongsikan bersama kalian, dalam kitab Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah) terdapat beberapa perkara ditekankan dalam menjaga hak dan adab bersahabat.

Permulaan Jalan Hidayah
Kitab Bidayatul Hidayah merupakan kitab karangan Al-Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali Rahimahullah yang banyak dilimpahi keberkatan daripada Allah s.w.t. Ia merupakan ringkasan atau pati kepada kitab induk Ihya' Ulumuddinini yang telah pun diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh seorang tokoh terkenal iaitu Al-Alim Al-Allamah As-Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani (meninggal dunia sekitar tahun 1203 Hijrah). Di rantau Asia Tenggara, terjemahan terkenal ini dinamakan sebagai Hidayatussalikin Fisuluki Maslakil Muttaqin. kerana kita ini mempunyai huraian lengkap dan menggunakan gaya bahasa yang tinggi di samping  penambahan yang besar faedahnya.
Dalam kitab tersebut dinyatakan beberapa hak seorang sahabat ke atas sahabatnya yang lain. Menurut Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, hak dalam persahabatan ini perlu dijaga bagi mengelakkan hubungan baik di antara dua pihak terjejas sekaligus menjamin jalinan persabahatan yang diredai Allah SWT. Antara hak dalam menjalin persahabatan yang dijelaskan dalam kitab tersebut ialah memberi teguran secara berhemah apabila sahabat melakukan kesalahan, menziarahi sahabat apabila tidak sihat, memberi bantuan dan keringanan kepada sahabat apabila dirinya mengalami kesukaran,
Hadis berkenaan hak sahabat pula meliputi 7 aspek yang diriwayatkan oleh Ibnu Babawaih. Sabda Rasulullah SAW,
“Tiap orang mukmin telah diwajibkan oleh Allah mendapat tujuh hak daripada orang mukmin yang lain: memandangnya dengan penuh penghargaan, menyimpan perasaan mesra dalam hati terhadapnya, menghulurkan simpati dengan harta sendiri, mengharamkan perbuatan mengumpat terhadapnya, menziarahinya ketika sakit, mengiringi jenazahnya (apabila meninggal dunia), dan tidak menyebut tentangnya kecuali yang baik sahaja setelah ketiadaannya.”
Tambahan daripada itu, beberapa kriteria diperlukan oleh setiap individu bagi menjalin persahabatan yang baik. Menurut Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid (2011), jika kita  merupakan sahabat yang menghormati persahabatan, maka kita akan memiliki hak persahabatan dengan sahabat tersebut. Sebaliknya, jika sahabat didapati tidak memenuhi hak persahabatan maka sahabat itu akan melarikan diri apabila kita dihimpit kesusahan. Jelasnya lagi, terdapat empat kriteria yang diperlukan bagi memastikan hak persahabatan yang harmoni. Pertama, teman yang menemani dalam susah dan senang. Kedua, teman yang jujur terhadap sahabatnya. Ketiga, teman.yang memenuhi janji. Keempat, adil dalam memenuhi hak persahabatan.
Oleh itu, mengenali hak persahabatan dan adab-adabnya dalam menunaikan hak adalah penting. Terdapat empat adab dalam persahabatan. Pertama, bersahabat kerana Allah. Apabila bersahabat kerana Allah, secara tidak langsung ia menjadi ibadah dalam muamalat individu disamping dapat menjaga habluminallah (hubungan makhluk dengan Allah). Kedua, berbuat itsar terhadap sahabat, iaitu mendahulukan sahabat berbanding diri sendiri dalam perkara-perkara yang dibolehkan dalam syariat. Secara tidak langsung sebenarnya itsar bertindak sebagai sifat yang dapat menjaga habluminannas (hubungan sesama manusia). Ketiga, membantu sahabat yang berada di dalam kesulitan. Apabila sahabat mengalami kesukaran dari segi kewangan mahupun masalah lain, sahabatnya perlu peka, bertanggungjawab dan berusaha dalam menyelesaikan masalah sahabatnya bersama. Keempat, menjaga kehormatan sahabat. Menjaga kehormatan bukan sahaja dengan tidak mendedahkan aib sahabat malah menjaga air muka, maruah dan mempertahankan kehormatan keluarga sahabat dalam hidup bermasyarakat.

nilai persahabatan...

Habib Ali Zaenal (2014) turut mengupas kitab ini dengan lebih terperinci berkenaan aspek apabila berlaku salah faham dalam persahabatan. Menurutnya, permasalahan perlulah diselesaikan dengan berhemah. Apabila, kita melihat sahabat melakukan perkara yang tidak kita gemari, maka perkara yang perlu dibenci ialah perbuatan tersebut dan bukanlah sahabat tersebut. Dalam masa yang sama, kita perlu mengingatkan diri serta mengambil pelajaran ke atas perkara negatif yang berlaku disekeliling kita dan bukan sekadar menghukum kejahilan yang mungkin dilihat dari kesilapan sahabat dan orang sekeliling. Namun apabila berlaku pertelingkahan, ingatlah pesan Rasulullah SAW di bawah, bahawa muslim yang bersaudara tidak dibolehkan memutuskan silaturrahim kerana tiada hamba-Nya yang terlepas daripada membuat kesilapan.
 “Janganlah kamu saling putus-memutus hubungan, janganlah kamu saling berpaling tadah, janganlah kamu saling benci-membenci, janganlah kamu saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Dan tidaklah halal bagi seorang muslim berpaling dari saudaranya lebih dari tiga hari”. (H.R Bukhari dan Muslim)
Perumpamaan berikut pula menjelaskan mengapa perlunya menjaga hak dalam persahabatan dan saling menghormati dalam persahabatan. Perumpamaan dari orang-orang tua banyak mengatakan tentang berhati-hati kamu kepada musuh kamu sekali, tetapi (berhati-hati) kepada teman kamu 1000 kali.” Perkara yang cuba ditekankan dalam perumpamaan ini ialah kepentingan dalam menjaga hubungan persahabatan. Yakni sebagai seorang sahabat, kita perlu menjaga hak persahabatan dengan teman itu. Hal ini kerana sahabat merupakan orang mengetahui segala rahsia diri kita setelah berkongsi susah dan senang. Namun, apabila berlaku pergaduhan antara dua sahabat maka dikhuatiri rahsia akan terdedah. Oleh itu, hak terhadap sahabat perlu dipenuhi bagi menjamin hubungan persahabatan yang kukuh.
sahabat ialah mereka yang inginkan kejayaan bersama...
Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)
Berdasarkan hadis di atas, dinyatakan ciri-ciri peribadi yang mulia. Apabila kita memuliakan dan menghormati orang lain maka kita juga akan mendapat menghormatan yang sama seperti layanan yang kita berikan kepada mereka. Justeru, kita perlu menghormati sahabat agar kita dihormati. Memberi tanpa mengharap mendapatkan balasan darinya. Kita perlu lebih bersyukur dan tanamkan dalam jiwa akan janji Allah SWT yang pasti. Itu sudah memadai, kerana janji Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang akan ditambahkan rezeki kepada mereka yang bersyukur.
Kesimpulannya, adalah penting bagi setiap individu memilih mukmin yang sesuai untuk dijadikan sahabat selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak agar dapat saling membimbing ke arah kebaikan. Selain itu, setiap muslim perlu menjaga hak sahabat masing-masing, baik hak terhadap diri sendiri sebagai sahabat mahupun hak sahabatnya terhadap dirinya. Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW bahawa setiap mukmin akan dipersoalkan tanggungjawabnya terhadap mukmin yang lain di akhirat kelak. Oleh itu, menjaga hak mukmin dan sahabat lain adalah penting agar kita mendapat keredaan Allah dalam menjaga habluminallah dan habluminannas. Sekaligus, in shaa Allah dengan menjaga kebajikan sahabat dan mukmin lain, ianya dapat menjamin kejayaan dunia melalui hubungan persahabatan yang harmoni dan kejayaan akhirat setelah mendapat keredaan Allah SWT. Mari kita buktikan bersama bahawa kita sayang akan sahabat yang lain dan inginkan kejayaan bersama di dunia dan akhirat. Ayuh, bersama saling mengamalkan adab bersahabat dan menunaikan hak terhadap sahabat sekeliling agar kehidupan lebih bahagia, jauh daripada persengketaan picisan dalam persahabatan.
Wallahu'allam.